Tahun itu 2015. Saya sangat penat.

Baru bangun daripada tidur selama 20 minit di dalam kereta di bawah terik matahari, fikiran saya hanya tertumpu pada setin Red Bull untuk bertahan sehingga petang. Saya melangkah masuk ke sebuah Speedmart di pinggir bandar Klang, mengambil minuman tersebut, dan terus ke kaunter.

Juruwang tersebut, seorang wanita muda, mungkin baru berumur 18 tahun. Saya menghulurkan RM10 untuk minuman berharga RM4.60 itu.

“Minta maaf bang, mesin daftar tunai rosak,” katanya sambil meraba-raba laci mencari kalkulator.

Selepas beberapa ketika, dia meletakkan kalkulator itu di atas meja. 

Dia menekan beberapa butang, kemudian berbunyi “tsk” tanda tersilap tekan. Dia mencuba lagi, sekali lagi “tsk”. Akhirnya, dia berjaya menekan nombor yang betul: 10 – 4.60 = 5.40.

Dia menyerahkan baki wang saya, dan saya pun berjalan masuk ke sekolah menengah di sebelah kedai tersebut. Saya berada di sana untuk menjalankan program rintis matematik; sebuah sekolah di mana 86% pelajar gagal dalam matematik.

Hati saya sayu memikirkan juruwang muda tadi mungkin salah seorang bekas pelajar sekolah ini. Besar kemungkinan haluan hidupnya ditentukan oleh kegagalan sistem sekolah dalam mengajar asas matematik kepada pelajarnya. 

Gambaran Yang Lebih Besar

Skor PISA (Program Penilaian Pelajar Antarabangsa) Malaysia menunjukkan betapa seriusnya masalah ini. Malah, cabaran ini dihadapi oleh hampir semua negara membangun di Asia Tenggara.

Saya mempunyai teori bahawa terdapat korelasi mendalam antara hasil pendidikan sekolah dengan prestasi ekonomi sesebuah negara; ibarat tarikan graviti antara planet dan bulan, nasib kedua-duanya saling berkait rapat. 

Bagaimana kita boleh keluar daripada kitaran ini?

Teori perubahan Tupai berpusat pada dua tindakan utama yang perlu dilakukan segera:

1) Membebaskan Masa Guru

Mengapa ini penting: Apabila seorang guru perlu mengendalikan 200 pelajar atau lebih merentasi pelbagai kelas, mereka sudah tidak mempunyai masa terluang. Ditambah pula dengan kadar kegagalan yang tinggi, adalah mustahil bagi mereka untuk memberi perhatian khusus kepada setiap pelajar. 

Kekurangan masa ini menjadi penghalang besar. Ia menghalang guru daripada melakukan refleksi dan pembangunan profesional yang diperlukan untuk menjadi pendidik yang mampu membina keyakinan dan kecekapan pelajar.

Di sinilah AI (Kecerdasan Buatan) dan alatan teknologi baharu dapat menjimatkan masa berharga guru. Tidak lama lagi, guru mungkin tidak perlu lagi menanda kertas secara manual, mencatat minit mesyuarat, atau membazir masa membina soalan peperiksaan secara rawak. Guru akan mempunyai "pembantu peribadi" yang mereka perlukan, membolehkan mereka meluangkan lebih banyak masa membantu pelajar yang paling memerlukan. 

2) Memberi Perhatian Peribadi Kepada Pelajar

Mengapa ini penting: Apabila pelajar bergelut dengan matematik, mereka memerlukan lebih daripada sekadar latihan. Mereka perlukan seseorang untuk membimbing, memudahkan konsep, dan membantu apabila mereka buntu. 

Namun, jumlah guru tidak mencukupi, dan guru yang ada pula kesuntukan masa. Ramai pelajar beralih ke pusat tuisyen, tetapi tuisyen yang mampu milik biasanya mempunyai saiz kelas yang besar—di mana pelajar tetap tidak mendapat bantuan individu.

Menambah guru di semua 10,000 sekolah awam di Malaysia nampak seperti penyelesaian yang jelas, tetapi realitinya ia tidak mampan.

Menambah hanya satu guru tambahan bagi setiap sekolah akan menelan belanja hampir RM1 bilion setahun. Itu pun masih belum mencukupi. Ini adalah masalah bernilai berbilion ringgit yang tidak mampu ditanggung oleh negara membangun.
Namun, dengan kemajuan teknologi, kini kita mampu membebaskan masa guru dan menyediakan sokongan individu kepada pelajar pada kos yang jauh lebih rendah.

Jika juruwang muda itu dilahirkan hari ini, adakah nasibnya akan berbeza? Mungkin dia tidak lagi terkial-kial mengira baki wang di kedai runcit. Sebaliknya, dia mungkin sedang menyelesaikan masalah yang lebih besar dan bermakna untuk masa depannya.

Tinggalkan Balasan